MINANGKABAUNEWS.com, JAKARTA – Tourism Malaysia mengukuhkan usaha promosi pelancongan melalui Misi Galakan Pelancongan ke empat bandar terkemuka Indonesia: Medan, Yogyakarta, Jakarta, dan Surabaya, dari 10 hingga 18 April 2025. Misi ini menyatukan 36 wakil industri pelancongan Malaysia, termasuk pengendali pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, serta wakil program Malaysia My Second Home (MM2H), bagi menjalin kerjasama strategik dengan rakan niaga Indonesia.
Inisiatif ini selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan menyokong pelaksanaan Tahun Melawat IMT-GT 2023–2025 yang bertujuan mempromosikan destinasi serantau sebagai entiti pelancongan bersepadu. Menurut Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin,
“Indonesia kekal sebagai pasaran utama di Asia Tenggara dengan jumlah pelancong tertinggi ke Malaysia. Misi ini juga selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.”
Aktiviti utama misi ini merangkumi seminar dan sesi perbincangan business-to-business (B2B) bersama persatuan pelancongan terkemuka Indonesia seperti ASTINDO, ASITA, dan ASPPI. Tujuannya adalah untuk mempamerkan produk pelancongan terkini Malaysia serta mengukuhkan jaringan kerjasama. Tourism Malaysia turut mengadakan perbincangan strategik dengan syarikat penerbangan dan platform tempahan dalam talian (OTA) seperti Tiket.com dan Traveloka bagi meningkatkan aksesibiliti perjalanan.
Batik Air menyokong misi ini dengan menawarkan diskaun istimewa kepada pelancong Indonesia yang berkunjung untuk rawatan kesihatan. Dari aspek budaya, Kumpulan Marriott Bonvoy berkolaborasi dengan Tourism Malaysia dengan membawa lapan koki Malaysia ke empat hotelnya di Indonesia—JW Marriott Medan, Yogyakarta Marriott, The Ritz-Carlton Jakarta Mega Kuningan, dan Sheraton Surabaya—bagi memperkenalkan hidangan tradisional Malaysia.
Pada tahun 2024, Malaysia merekodkan ketibaan 4,145,127 pelancong dari Indonesia, meningkat 19.1% berbanding 2023 dan 6.8% melebihi angka pra-pandemik 2019. Sehingga Mac 2025, terdapat 580 penerbangan mingguan antara kedua negara dengan kapasiti 106,134 tempat duduk seminggu, mencerminkan peningkatan ketara dalam permintaan.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tourism Malaysia berperanan mempromosikan negara sebagai destinasi global yang mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UNSDG). Melalui kempen VM2026 dan inisiatif IMT-GT, agensi ini berusaha menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai hab pelancongan yang unggul.






